Skip to main content

Pusat Pengajian Sains Kesihatan |  Universiti Sains Malaysia

    Ucapan Alu-aluan Pengerusi

WanRosli

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera kepada semua warga PPSK,

Pertama sekali, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PPSK, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PPSK yang terdiri daripada seorang Setiausaha, 8 wakil Majikan/Pengurusan dan 7 wakil Pekerja yang telah menjalankan pelbagai urusan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di PPSK dengan penuh komitmen, semangat dan rasa tanggungjawab. Mereka sentiasa berusaha meningkatkan prestasi, komitmen serta kesungguhan dalam pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan demi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk semua warga PPSK.

Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PPSK sentiasa bersedia untuk:

  • membantu dalam penyediaan peraturan keselamatan dan kesihatan serta sistem kerja selamat;
  • menyemak keberkesanan program keselamatan dan kesihatan;
  • menjalankan kajian terhadap trend kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja, serta melaporkan kepada pihak majikan mengenai sebarang keadaan atau amalan yang tidak selamat atau tidak sihat di tempat kerja beserta cadangan tindakan pembetulan; dan
  • menyemak polisi keselamatan dan kesihatan serta mencadangkan kepada pihak majikan sebarang pindaan terhadap polisi tersebut.

Sejajar dengan tujuan tersebut, laman web ini diwujudkan sebagai satu platform untuk perkongsian dokumen dan maklumat rujukan kepada semua staf PPSK, selaras dengan amalan di seluruh USM, antaranya:

  • Akta dan semua perundangan subsidiari di bawah Akta tersebut;
  • Kod amalan industri dan garis panduan berkaitan penghapusan risiko keselamatan dan kesihatan mengikut jenis kerja yang dijalankan, serta kod amalan berkaitan dengan penyediaan latihan yang relevan;
  • Maklumat mengenai pelan keselamatan dan pelaksanaannya, termasuk sebarang perubahan terhadap pelan yang memberi kesan kepada keselamatan dan kesihatan pekerja;
  • Maklumat teknikal berkaitan bahaya keselamatan dan kesihatan serta langkah pencegahan yang perlu diambil untuk menghapuskan atau mengurangkannya;
  • Maklumat mengenai prosedur operasi, sistem kerja, bahan yang digunakan di tempat kerja dan data berkaitan keselamatan dan kesihatan; dan
  • Maklumat lain yang diarahkan oleh pihak Pengurusan dari semasa ke semasa.

Semoga kita semua dapat bekerja di PPSK dalam keadaan yang selamat, sihat dan bahagia sentiasa.

Sekali lagi, saya merakamkan penghargaan kepada semua ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan PPSK atas usaha berterusan dalam memantau keselamatan dan kesihatan warga PPSK.

 

PROFESSOR DR. WAN ROSLI WAN ISHAK

 

  • Last updated on .